HomeBeritaViralIsu tarian 'Budak Step', penganjur Port Fest tampil mohon maaf

Isu tarian ‘Budak Step’, penganjur Port Fest tampil mohon maaf

CYBERJAYA: Pihak pengurusan agensi kreatif People of Remarkable Talents (Port) memohon maaf berhubung isu tarian tidak senonoh oleh segelintir penonton sewaktu persembahan UBS Band di Port Fest 2023 di Dataran Ipoh, Perak pada 20 Ogos lalu.

Menurut penganjur, kejadian itu berlaku di luar kawalan pihaknya.

“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang diviralkan tersebut telah menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat.

“Kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan tular sebuah video sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan yang mempamerkan tarian tidak senonoh dalam festival berkenaan sehingga menerima kecaman netizen.

Menerusi video yang dikongsikan di Twitter @ciraplaici difahamkan, tarian tersebut dikenali sebagai ‘Kaki Step’.

Lebih teruk, kelihatan aksi melampau beberapa gadis bertudung sedang ‘bergelek’ sambil dikelilingi sekumpulan lelaki.

Ia bermula apabila sekumpulan lelaki memberikan isyarat untuk mengelilingi wanita tersebut sebelum masing-masing melakukan aksi kurang sopan itu sehingga menerima sorakan ramai.

Untuk makluman, Port Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari pada 19 hingga 20 Ogos lalu merupakan sebuah festival yang dijalankan untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.

Tujuan utama festival itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih daripada 300 orang penggiat seni di Perak.

Author

Pilihan Editor