ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta agar cerita mengenai tindakan beliau menayang kertas undi kepada petugas media dihentikan kerana mendakwa ia tidak menyalahi undang-undang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau sudah merujuk perkara itu kepada peguamnya bagi mengesahkan perkara itu.
“Diam-diam sudahlah, katup-katup (tutup) lah cerita tu bukan ada kesalahan apa pun.
“Sebenarnya tidak ada kesalahan Seksyen 39, itu adalah berkaitan petisyen pilihan raya, bukan mempamerkan (kertas undi) ketika mengundi.
“Peguam hakim semua rujuk dah pi baca pi baca,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan terhadap tindakan Muhammad Sanusi yang didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Sanusi juga mungkin akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
Bagaimanapun, kelmarin Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa tidak berniat untuk menayang kertas undi miliknya ketika membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sabtu lalu.
Katanya, kejadian itu berlaku di luar kawalannya kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Khamis ini bagi mempersembahkan senarai nama calon bagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco).
Beliau berkata, senarai nama calon Exco itu sudah diperoleh daripada kepimpinan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk diperkenankan.
“Minggu ini persembahkan senarai calon Exco dan awal minggu depan akan angkat sumpah, lepas itu baru kita susun perkara lain… susah hendak buat pilihan, saya terima (nama), saya tapis sikit dan bagi pandangan sedikit sebelum persembahkan kepada Tuanku Sultan.
“Sekiranya Tuanku Sultan perkenan okay la semuanya, kalau tidak kita akan buat pertukaran… saya tidak boleh beritahu nama siapa kerana tidak boleh mendahului proses-proses yang sepatutnya,” katanya. – Harian Metro