CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan teladan baik dengan mengarahkan menantunya pulang untuk membantu siasatan kes rasuah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Muhyiddin tidak perlu memberi alasan dan takut jika yakin menantunya, Datuk Seri Muhammad Adlan Benhan yang berada di luar negara sejak Mei lalu tidak bersalah.
“Sepatutnya Muhyiddin dengan slogan PN Best tunjuk teladan baik. Dia masih mahu jadi PM? Suruhlah menantu balik, takut apa kalau tak bersalah.
“Pernahkan anak-anak bekas PM melarikan diri?
“Muhyiddin dicabar buat kenyataan terbuka. Jangan malukan PN Best (Prihatin, Bersih, Stabil),” tulisnya di laman Facebook pada Isnin.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan Adlan bersama peguam Mansoor Saat kini dalam senarai Notis Merah Interpol untuk mendapat kerjasama antarabangsa bagi membawa pulang kedua-duanya.
Adlan dan peguam Mansoor Saat dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan sebuah projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Namun, Adlan dan Mansoor kemudiannya mengeluarkan kenyataan melalui peguam menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang.
Adlan melalui peguamnya Baljit Singh Sindhu berkata, beliau akan kembali ke Malaysia untuk membantu SPRM dengan sebarang siasatan selagi “unsur ancaman dan penganiayaan dihapuskan”.