PETALING JAYA: Seorang lelaki mendedahkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah membantu membiayai kos pembedahan jantung arwah anaknya pada tahun 2012 lalu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, individu yang dikenali sebagai Adiey Salleh berkata, dia dan isteri menemui jalan buntu apabila anak mereka perlu dibedah segera akibat mengalami masalah jantung berlubang.
Pasangan itu kemudian mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan mereka dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kisah di IJN pada 20 Jun 2012, anak saya perlu menjalankan pembedahan jantung berlubang. Saya di dalam bilik tafsiran bersama isteri, tak ada pilihan nak kena keluarkan KWSP sebab kos,” katanya.
Bercerita lanjut, lelaki itu memberitahu, dengan izin Allah wakil daripada Simply Siti datang menawarkan bantuan untuk menanggung keseluruhan kos pembedahan anaknya.
“Tiba-tiba wakil Simply Siti datang terus menawarkan bantuan kewangan untuk kos pembedahan. Berderai air mata jantan saya,” kongsinya.
Difahamkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia selepas tiga bulan selesai menjalani pembedahan.
Namun, sebagai seorang bapa, Adiey tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Siti Nurhaliza kerana kesudian membantu keluarganya.
“Anak saya sudah tiada, tetapi dia sempat berlari dan beraya. Tiga bulan dia ada bersama kami.
“Demi Allah perkara ini benar, terima kasih Siti. Aku kenang sepanjang hayat, hanya Allah mampu membalasnya.
“Kami sekeluarga pernah berhutang nyawa dan budi daripada Siti. Sehabis hayat saya akan kenang dan bersyukur. Saya doakan Siti Nurhaliza terus diberkati Allah,” katanya. – KOSMO