CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama syarikat Aeon Big (M) Sdn Bhd (Aeon Big), melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah bagi mempromosi dan menyokong aktiviti sukan di negara ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha meneruskan legasi sahabat baiknya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Sallahuddin Ayub dalam membantu golongan kurang berkemampuan atau B40.
“Inisiatif Sukan Rahmah adalah untuk meneruskan legasi dan usaha Allahyarham Salahuddin Ayub yang berusaha untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir akibat isu kos sara hidup.
“Dengan usaha bersama Aeon Big, saya percaya yang nak bersukan berpeluang untuk mendapatkan pakaian dan peralatan yang mampu milik untuk bersama-sama bersukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Justeru, Aeon Big kini menawarkan lebih 100 jenis peralatan dan pakaian sukan dan pembeli boleh menikmati diskaun antara 10 hingga 30 peratus selama 10 minggu sehingga Hari Sukan Negara pada 14 Oktober depan.