HomeBeritaViral'KFC dan kerajaan tidak terlibat' - Andrie perjelas isu pelajar tahfiz ke...

‘KFC dan kerajaan tidak terlibat’ – Andrie perjelas isu pelajar tahfiz ke konsert

CYBERJAYA:Seorang individu dikenali Andrie Ung Han Xiang, tampil mengakui bahawa dirinya adalah individu yang membawa masuk pelajar tahfiz ke konsert KEPCI Music Festival di Shah Alam, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Andrie menjelaskan bahawa pihak penganjur dan kerajaan tidak terbabit dengan kehadiran mereka.

“Saya ingin menyatakan bahawa pihak KFC dan kerajaan adalah tidak terlibat sama sekali dengan kehadiran pelajar tahfiz pada hari tersebut.

“Inisiatif ini adalah sepenuhnya dari pihak saya yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman menghadiri festival tersebut dan diraikan bersama-sama.

“Saya dengan bantuan dan sumbangan dari rakan-rakan telah berjaya mengumpulkan seramai 700 orang anak-anak yatim dari 22 buah rumah anak-anak yatim seluruh negara,” katanya.

Andrie turut memaklumkan, pelajar yang memakai jubah hijau dan berserban putih yang kelihatan dalam video tular itu adalah dari sebuah madrasah di TTDI Jaya, Selangor.

“Mereka ini adalah dari anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu.

“Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana di dalam Islam sendiri tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram mereka,” jelasnya.

Sabtu lalu, sebuah persembahan konsert KEPCI Music Festival 2023 telah dianjurkan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Antara artis jemputan yang memeriahkan festival Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy search, Ella serta Misha Omar.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Memetik laporan The Rakyat Post, Andrie merupakan anak kepada ahli perniagaan dan dermawan Kelantan yang terkenal, Datuk Seri Sunny Ung.

Sementara itu, menerusi Instagram stories, Sunny turut berkongsi kenyataan yang dikeluarkan oleh Andrie.

Author

Pilihan Editor