HomeBeritaPolitikKJ turun padang kempen untuk calon PN di DUN Jeram

KJ turun padang kempen untuk calon PN di DUN Jeram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, turun padang menyokong kempen calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan di sekitar Puncak Alam semalam.

Dalam satu video yang tular di TikTok, bekas Menteri Kesihatan yang tewas kerusi Parlimen Sungai Buloh ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, berkata beliau turun berkempen kerana berpendapat Harisson boleh menjadi wakil rakyat yang baik.

“Harisson boleh jadi wakil rakyat yang bagus, kalau tak sesuai, saya tak keluar sokong,” katanya.

Khairy berkata, beliau mengenali Harrison lebih daripada 20 tahun dan sama-sama menyertai pergerakan Pemuda UMNO.

Katanya, Harisson adalah Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, ketika beliau menjadi exco pergerakan itu.

Harisson, bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian Sungai Buloh, dilucut keahliannya secara automatik selepas mengumumkan bertanding di DUN Jeram di bawah tiket PN pada pengundian PRN Selangor 12 12 ini.

Dalam saingan itu, beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy jika bekas Ahli Parlimen Rembau itu berhasrat menyertai parti berkenaan.

Tawaran itu diumumkan selepas Khairy dipecat dari UMNO dan bagi mengukuhkan PN menjelang PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, Khairy tidak memberikan jawapan sebaliknya memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai BERSATU yang dibuat Muhyiddin.

Sepanjang kempen PRN ini, Khairy juga tidak turun berkempen atau tampil di atas pentas mana-mana gabungan parti politik, sebaliknya memberi perhatian sebagai pengacara ‘podcast’ Keluar Sekejap, yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor