HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki lapor polis video anak dipukul di tangga

Lelaki lapor polis video anak dipukul di tangga

SEORANG lelaki yang mahukan pembelaan buat anak perempuannya bertindak membuat laporan polis, selepas video wanita itu dipukul di kawasan tangga tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan polis lelaki berusia 51 tahun itu pada pukul 10 malam, 30 Julai yang mendakwa wanita yang dipukul dalam video tersebut adalah anaknya.

“Video tular itu telah dimuat naik dalam akaun Facebook ‘Whyman Whyman’ dan menurut lelaki tempatan itu, anak perempuannya berumur 24 tahun telah keluar dari rumahnya di kawasan George Town (Pulau Pinang) sejak Disember 2022 kerana masalah keluarga.

“Sejak itu, anak perempuannya tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarganya, dan ekoran video tular tersebut lelaki itu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, video tular berdurasi lima minit dan 31 minit memaparkan wanita terbabit dipukul berkali-kali di kawasan tangga.

Setakat ini, Soffian berkata, pihak polis masih belum dapat memastikan lokasi sebenar kejadian mangsa dipukul dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kesalahan penggunaan perkhidmatan rangkaian).

Beliau menasihati orang ramai agar tidak menularkan rakaman video berkenaan untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta agar menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor