HomeBeritaLetupan kuat gegar hadapan pagar sekolah

Letupan kuat gegar hadapan pagar sekolah

PADANG BESAR: Suasana tenang di kawasan luar sebuah sekolah rendah di sini dikejutkan dengan satu letupan kuat dipercayai daripada bahan letupan buatan sendiri, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.30 pagi tadi.

“Kami menerima maklumat daripada pengawal keselamatan di sebuah sekolah kebangsaan yang memaklumkan berlaku satu bunyi letupan kuat pada pukul 4 pagi.

“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar dan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bahan letupan itu diperbuat daripada paip besi.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis atau mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Harnizam di talian 011-555 1000,” tambahnya. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor