PENGGEMPUR berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak sabar untuk merobek gawang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman malam ini bagi memastikan kemenangan buat pasukan sekali gus membolehkan JDT bergelar juara Liga Super musim ini.
Bergson tidak mahu pesta Harimau Selatan meraikan kejuaraan liga buat musim ke-10 berturut-turut ditangguhkan sebaliknya mahu ia berakhir dengan penuh bergaya.
Menurut penyerang kelahiran Brazil itu, kemenangan itu juga bagi menebus kekecewaannya musim lalu apabila dilayangkan kad merah didakwa mengasari Rodney Calvin ketika babak pertama pertemuan tersebut.
“Walaupun kami menang 3-1 pada perlawanan itu, ia sedikit tercalar setelah saya dilayangkan kad merah. Sudah tentu saya mahu lupakan peristiwa itu dan kembali fokus seterusnya membantu pasukan untuk muncul juara Liga Super musim ini.
“Perlawanan ini ibarat aksi final, kami bersungguh-sungguh untuk memenanginya. Saya dan rakan sepasukan perlu kekal berdisiplin dan bermain tanpa tekanan selain memberi tumpuan penuh pada perlawanan untuk meraih tiga mata penting ini,” katanya.
Sehubungan itu, penyerang berusia 32 tahun itu menuntut rakan sepasukan untuk mengekalkan rentak kemenangan dan beraksi konsisten bagi mencatatkan satu lagi rekod luar biasa yang hanya dapat dilakukan oleh pasukan seperti JDT.
“Tidak menafikan aksi di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini pastinya menjanjikan pertembungan sengit, namun optimis rakan sepasukan akan beri persembahan terbaik seterusnya membawa pulang tiga mata ke Johor.
“Skuad Harimau Selatan perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi pertemuan ini, saya percaya ketua jurulatih (Solari) mempunyai perancangan terbaik untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” ujarnya. – Kosmo!