HomeBeritaMahkamah & JenayahMahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding 1MDB

Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding 1MDB

PUTRAJAYA: Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung prosiding perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya ditolak Mahkamah Rayuan pada Jumaat.

Memetik laporan Berita Harian, Najib memohon untuk menggantung prosiding berkenaan, sementara rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB diputuskan Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dibarisi Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, sebulat suara menolak permohonan Najib selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Hadhariah yang memberikan keputusan panel berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan responden bahawa tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan prosiding kes itu digantung.

Sebaliknya, katanya, panel tidak boleh bersetuju dengan peguam Najib bahawa rayuan supaya hakim menarik diri akan menjadi sia-sia jika permohonan untuk menggantung prosiding tidak dibenarkan.

“Pada pandangan kami, kepentingan awam menuntut supaya perbicaraan kes 1MDB ini diteruskan dan isu ini boleh dikemukakan melalui rayuan jika disabitkan.

“Kes ini sudah dibicarakan dengan lanjut di mana 46 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan yang sudah memakan masa selama 173 hari.

“Dalam keadaan ini, mahkamah mendapati tiada alasan untuk membenarkan penggantungan prosiding. Dengan itu kami dapati tiada merit dalam permohonan ini, oleh itu ia ditolak,” katanya.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita, beliau akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Persekutuan untuk menggantung prosiding kes itu.

Najib memohon Sequerah menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam kira-kira 10 hingga 15 tahun lalu.

Dalam keputusannya menolak permohonan Najib supaya beliau menarik diri pada 18 Ogos lalu, Sequerah turut menolak permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan 1MDB.

Hakim itu menolak permohonan supaya beliau menarik diri, selepas mendapati tiada sebarang konflik kepentingan yang akan timbul dan berlaku kemungkinan beliau akan bertindak berat sebelah terhadap Najib jika terus mendengar perbicaraan kes berkenaan.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan dan bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi berkata, tidak pernah berkomunikasi dengan Jasmine sama ada secara profesional atau peribadi sejak wanita itu meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008.

Menurut Sequerah, beliau juga tidak bertemu dengan Jasmine sejak itu iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

Perbicaraan kes 1MDB yang bersambung 28 Ogos ini akan mendengar keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada peringkat soal balas oleh Muhammad Shafee.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Author

Pilihan Editor