PEPATAH yang mengatakan malang tidak berbau mungkin tidak terpakai kepada seorang lelaki di China.
Lelaki tersebut mengalami hari yang malang apabila keretanya dilanggar dari belakang oleh kenderaan yang mengangkut najis haiwan. Kemalangan itu mengakibatkan kecederaan kepada dirinya dan kerosakan besar pada keretanya. Nasib malang lelaki itu diburukkan lagi apabila najis haiwan itu menutupi seluruh keretanya, sama seperti yang anda bayangkan.
Kemalangan pelik itu berlaku di Bandar Xianyang, Wilayah Liaoning, wilayah pantai di timur laut China. Apabila gambar kereta yang diliputi najis haiwan itu disiarkan dalam talian, kisah itu dengan cepat menjadi tular, menarik perhatian meluas di media sosial.
Semasa menunggu di lampu isyarat, kereta lelaki itu secara tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lori besar. Lori itu sarat dengan najis haiwan, yang tumpah ke seluruh keretanya, menutupinya sepenuhnya. Pemilik kereta itu merungut mengenai kemalangan yang aneh itu.
“Saya pernah melihat kereta ditenggelami air ketika menunggu lampu isyarat tetapi tidak pernah menyangka lori yang membawa sejumlah besar najis haiwan akan mengekori saya. Bahagian dalam kereta saya dipenuhi najis. Syarikat insurans masih belum membuat taksiran kerosakan itu, dan saya berada di hospital.”
Kesan rempuhan itu turut menyebabkan kerosakan besar pada kenderaan itu, dengan bumbungnya kemek teruk dan tingkap belakang pecah. Pemandu itu mengalami kecederaan akibat kemalangan itu dan kini sedang menjalani rawatan di hospital. Dia mengadu sakit teruk di leher, bahu dan kepalanya, lapor portal berita KhaoSod.
Walaupun kemalangan itu mengakibatkan kecederaan fizikal dan kerosakan harta benda, kebanyakan pengulas di media sosial tidak dapat mengelak daripada berasa lucu dalam kejadian malang berbau itu.
Beberapa pengguna media sosial menghiburkan pemandu dengan mesej yang memberi semangat, dengan menyatakan kemalangan dengan najis haiwan harus dianggap sebagai tuah yang unik.
“Najis haiwan melambangkan tuah. Lihatlah betapa melimpah ruahnya kekayaan itu.”