HomeBeritaViral'Mari kak bungkus, lepas tu lari' - Pemilik kedai kecewa pelanggan lari...

‘Mari kak bungkus, lepas tu lari’ – Pemilik kedai kecewa pelanggan lari lepas habis makan

CYBERJAYA: Seorang pelanggan di sebuah premis di Kota Bharu bertindak melarikan diri selepas meminta pemilik kedai membungkus lebihan makanan yang telah dimakan.

Menerusi perkongsian video TikTok @saja_saja, wanita yang juga pemilik kedai makan itu berkata, individu terbabit melarikan diri kerana enggan membayar harga makanan dan minuman.

“Dia datang makan dan lepas tu, dia tak bayar, dia lari. Dia buat-buat nak bungkus makanan. 

“Tahu tak macam mana, spageti tinggal empat urat, lala tinggal sebiji yang tak terbuka. Memang tak boleh makan pun lala tu.

“Mari kak bungkus (pelanggan panggil). Lepas tu lari. Jahatlah, sakit hati,” kata wanita itu yang dikenali sebagai Kak Ji bercerita dalam dialek Kelantan.

Seorang lelaki dalam video itu pula berkata, pelanggan tersebut sepatutnya memaklumkan kepada pemilik kedai jika benar-benar terdesak dan tidak perlu melarikan diri.

“Tak baik buat begitu, jangan buat. Kalau tak ada duit, bagi tahu saja.

“Kalau nak berhutang dulu, bagi tahu. Insya-Allah tuan kedai Kak Ji ni baik hati. Kalau orang buat begitu, siapa tak marah,” ujarnya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen menasihatkan wanita itu untuk menghalalkan makanan dan minuman yang dipesan individu terbabit.

“Ikhlaskan semoga Allah menggantikannya yang lebih. Saya juga meniaga sering macam itu. Tapi Allah Maha Pengasih lagi Penyayang,” komen netizen.

“Biasa kak, kadang-kadang orang bukan tak mau bayar. Duit tak ada perut lapar, malu nak bagitau. Minta halal la kak, Insya-Allah rezeki yang lain tu ada,” kongsi netizen.

Malah ada juga netizen menyelar tindakan netizen yang meminta pemilik kedai itu untuk menghalalkan makanan tersebut.

“RM27 pun duit dia abang kakak weh. Kalau normalise benda macam ini nanti jadi berleluasa macam mana? Nak tanggung esok-esok? Lainlah kalau dia bagitau tak ada duit,” selar netizen.

“RM27 nampak macam sikit bagi orang luar. Bagi orang yang dah biasa meniaga, RM27 tu lah untuk buat rolling modal,” luah netizen.

Author

Pilihan Editor