HomeBeritaPolitikMat Sabu akan dedah pembohongan Hadi

Mat Sabu akan dedah pembohongan Hadi

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu akan membongkar pembohongan yang dilakukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebalik imej Islamiknya.

Mohamad berkata, sudah sampai masanya rakyat tahu perkara yang sebenar di sebalik keputusan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Semalam Presiden Pas ‘tembak’ mengatakan bahawa mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya takkan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok di Simpang Jeram, Muar.

Saya akan jawab malam esok bagaimana seorang Presiden Pas membuat pembohongan kepada rakyat jelata. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.

“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden Pas. Jangan tipu rakyat di atas kupiah kamu itu, no more,” tegas Mohamad ketika berucap pada ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Naib Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ucapannya di markas Pas Bakri semalam mendakwa tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Beliau turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

Selepas PRU14pada 2018, bekas pemimpin Pas termasuk Mohamad dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad telah dilantik sebagai menteri.

Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, mengingatkan Abdul Hadi supaya berhenti membuat pembohongan tentang Islam terancam sekiranya terus bersama PR pada ketika itu

Jelasnya, parti Pas dan sekutunya sanggup menggunakan agama Islam semata-mata untuk kepentingan mereka.

“Sebagai contoh di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, semasa kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz  diarahkan tutup, isu itu membuatkan pengundi Melayu percaya mereka. Pada hal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang bahaya, perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.

“Isu itu menyebabkan mereka dapat sokongan sementara, saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang. Rakyat akan melihat perubahan ini, saya yakin rakyat tak bodoh dan kembali sokong kerajaan perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Authors

Pilihan Editor