HomeBeritaMayat gelandangan ditemui lemas dalam longkang di Batu Pahat

Mayat gelandangan ditemui lemas dalam longkang di Batu Pahat

BATU PAHAT: Mayat lelaki gelandangan ditemui di dalam sebuah longkang di Jalan Sultanah, di sini, kira-kira 5 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, usaha mengeluarkan mayat dibantu pasukan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsurkan jenayah dijumpai.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit itu dan lemas akibat pengaliran air.

“Berdasarkan maklumat orang awam, si mati adalah gelandangan yang sering kelihatan di kawasan itu. Polis sedang berusaha mengenal pasti identiti si mati,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Polis meminta orang awam yang kehilangan mana-mana individu atau mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan serta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat di talian 07-436 300,” katanya.

Author

Pilihan Editor