HomeBeritaMenantu Muhyiddin nafi larikan diri

Menantu Muhyiddin nafi larikan diri

 

KUALA LUMPUR: Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menafikan beliau melarikan diri daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili Muhammad Adlan berkata, anak guamnya meninggalkan Malaysia secara sah dan sebelum itu tidak pernah ditangkap atau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Peguam itu berkata, Muhammad Adlan kemudiannya dihubungi pegawai SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menyatakan keluar negeri bagi urusan dan akan kembali selepas urusan itu selesai, lapor Kosmo.

“Beliau (Muhammad Adlan) bersedia membantu sebarang siasatan dan percaya kepada proses kehakiman tetapi pada masa ia perlu melindungi hak dan kebebasannya mengikut undang-undang.

“Anak guam kami menyatakan bahawa beliau pasti akan pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua persoalan dan membantu SPRM dalam sebarang siasatan selagi mana tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Shukor Baljit & Partners) hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) bagi membekukan pasport menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu.

Kedua-dua mereka diperlukan bagi isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Author

Pilihan Editor