CYBERJAYA: Jika dilihat pada masa kini, rata-rata peniaga menggantikan straw plastik dengan straw diperbuat daripada kertas, tumbuh-tumbuhan dan logam bagi mengurangkan pencemaran dan menyelamatkan penyu di lautan.
Bagaimanapun, penyelidik dari University of Antwerp di Belgium mendapati alternatif kepada straw plastik adalah berbahaya kepada tubuh, lapor portal Amanz memetik Scimex.
Perkara itu berdasarkan kajian ke atas straw yang diperbuat daripada kertas, kaca, buluh, besi dan plastik mendapati PFAS ditemukan dengan kadar 75 peratus pada straw kertas yang diuji.
Untuk makluman, PFAS ialah singkatan sebatian poli dan perfluoroalkyl yang terdiri daripada lebih 12,000 bahan kimia yang tidak terurai dengan mudah secara semula jadi.
Maka tidak hairanlah jika ia turut dikenali dengan nama “kimia abadi” kerana boleh kekal selama-lamanya sekali gus memudaratkan tubuh badan manusia.
Mengulas lanjut, PFAS turut ditemukan dalam straw buluh dengan kadar 80 peratus sampel yang diuji manakala 40 peratus direkodkan pada straw kaca.
Kajian berkenaan turut mendapati hanya straw logam sahaja didapati bebas PFAS.
Penyelidik tidak dapat memastikan kehadiran PFAS adalah kerana pencemaran ketika proses pembuatan ataupun kerana ia digunakan pada bahan yang menjadikan straw lebih kalis air.
Kesan jangka panjang PFAS masih belum dikaji sepenuhnya tetapi menyumbang kepada sistem imun badan yang lemah, kanser ginjal, kanser testis dan masalah tiroid.