CYBERJAYA: Seekor kucing yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu dilaporkan mati pada Ahad.
Perkhabaran sedih itu dimaklumkan pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi yang merawat kucing ‘Oyen’ melalui Instagram miliknya, semalam.
“Dukacita dimaklumkan, Oyen Elmina telah pergi buat selamanya hari ini.
“Oyen didapati positif virus FIV (AIDS kucing) hingga membuatkan sistem immune badan Oyen terganggu,” katanya.
Menurut Dr Zul, komplikasi luka yang berada di tulang belakang Oyen menyebabkan jangkitan kuman lebih cepat merebak.
Tambahnya, keadaan Oyen semakin lemah dan tidak dapat bertahan meskipun rawatan terbaik sudah diberikan.
“Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin tetapi Oyen tidak dapat bertahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Zul turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah mendoakan Oyen.
Terdahulu, Oyen berada dalam jagaan Klinik Veterinar Zul Erwan selepas ia diselamatkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dari lokasi nahas pesawat di Elmina.