HomeBeritaViral'Nak tengok dah sunat ke belum'- Pekerja restoran didakwa cabul budak bawah...

‘Nak tengok dah sunat ke belum’- Pekerja restoran didakwa cabul budak bawah umur

CYBERJAYA: Sepasang suami isteri mendakwa anak lelaki mereka dicabul oleh seorang pekerja di sebuah restoran di kawasan Eco Majestic, Semenyih, pada Jumaat.

Menerusi hantaran di grup Facebook ‘Eco Majestic Semenyih Citizen’, pengadu menjelaskan anak lelakinya yang masih bawah umur dicabul oleh seorang pekerja restoran ketika hendak menggunakan tandas di premis itu.

“Anak bujang nak ke toilet sebab nak buang air. Bila dia balik ke meja, menangis. Bila ditanya kenapa senyap, dia stop makan terus.

“Bila di dalam kereta, anak cerita. Rupa-rupanya salah seorang pekerja di kedai tu telah menarik seluar anak saya masa dia nak ke toilet.

“Siap cakap ‘nak tengok dah sunat ke belum’,” tulisnya.

Terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya, pengadu terus berpatah balik ke restoran dan terus berdepan dengan pekerja terbabit.

“Memang saya patah balik dan tegur pekerja tersebut, tapi pekerja tu macam tak ada buat salah apa-apa pun.

“So, bos dia datang minta maaf pada kami. Kalau ikutkan, kami nak buat report balai. Tapi kami fikirkan periuk nasi orang,” jelasnya.

Malah, pengadu menasihatkan pemilik restoran sama ada hendak mengekalkan atau memberhentikan pekerja itu dengan mengambil kira kejadian yang terjadi itu.

“Saya cuma pesan pada bos dia, orang macam ni tak boleh ada dalam bisnes nanti akan burukkan bisnes.

“Harap kalau ada yang makan di luar. Anak ke toilet pastikan teman mereka. Macam-macam boleh berlaku,” ujarnya.

Namun, selepas berbincang bersama isteri, pengadu nekad membuat laporan polis agar pekerja terbabit dikenakan tindakan lanjut.

Menjengah di ruangan komen, pemilik restoran terbabit memaklumkan dia sudah memberhentikan pekerja itu.

“Assalamualaikum saya tuan kedai. Saya betul-betul minta maaf. Saya faham perasaan abang.

“Saya pun dah pecat dia dah. Taktau saya nak cakap macam mana, rasa bersalah pun ada. Kalau saya tahu jadi macam ni saya dah tak ambil dia awal-awal,” jelas pemilik restoran.

Author

Pilihan Editor