SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan dana pilihan raya dikaitkan dengan hasil premium insurans Skim Insurans Am Selangor (INSAN) untuk rakyat negeri itu sebagai tuduhan berniat jahat.
Beliau turut menafikan dakwaan maklumat peribadi dalam rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) disalahgunakan oleh kerajaan negeri dan diserahkan kepada syarikat insurans untuk tujuan program kebajikan tersebut.
“Soalan (dakwaan) itu berniat jahat, tiada kaitan langsung dana untuk PRN. Itu saya boleh sahkan 100 peratus atau 120 peratus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri hanya berhubung dengan SPR untuk mengumpulkan data bagi prapendaftaran.
“Sebenarnya itu (adalah) data awam yang kita perolehi dan itu yang didaftarkan sebagai prapendaftaran.
“Sebab itu bagi mereka yang membuat prapendaftaran perlu mengesahkan dengan gambar swafoto, gambar kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan pendaftaran berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu mempersoalkan jumlah bayaran oleh kerajaan negeri untuk premium insurans bagi enam juta rakyat Selangor.
Individu tersebut turut mendakwa, maklumat peribadi orang awam di negeri itu telah didaftarkan secara automatik tanpa pengetahuan.
Amirudin berkata, nama serta maklumat pemilik akan terangkum dalam sistem INSAN hanya selepas mereka membuat pengesahan.
“Polisi itu hanya akan termaktub selepas diserahkan dengan memenuhi beberapa kriteria iaitu swafoto dengan kad pengenalan masing-masing, barulah polisi itu diaktifkan sepenuhnya.
“Itu hanyalah prapendaftaran, jika tidak berminat tak perlu aktifkan maklumat peribadi. Keuntungan ke, dana pilihan raya, ini adalah tuduhan berniat jahat,” ujarnya.
Tambahnya, beliau akan mengarahkan pihak pengendali mengetatkan atau melaksanakan proses pembaikan sekiranya timbul isu berkaitan pelanggaran data peribadi.