PELAJAR Tingkatan Tiga yang menjadi mangsa buli sekumpulan remaja baru-baru ini merupakan bekas pesakit kanser limfoma.
Perkara itu didedahkan oleh seorang kenalan keluarga pelajar itu, yang mana dia baru sahaja disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
“Sebagai ibu bapa, kami berharap kejadian seumpama ini dipandang serius dan diambil tindakan supaya ia menjadi pengajaran,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Keluarga mangsa ketika dihubungi memaklumkan, mereka menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk menyiasat.
Media pada Selasa melaporkan, mangsa mengadu dia dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian hadapan dan belakang badan, paha, perut dan lengan kiri serta kanan dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, 9 Ogos lalu.
Kejadian berkenaan didakwa didalangi sekumpulan remaja lelaki dianggarkan berusia 14 hingga 17 tahun, termasuk seorang remaja warga asing.
Kejadian itu tular dalam media sosial, manakala motifnya dipercayai berpunca daripada seorang suspek yang tidak berpuas hati mangsa berkawan dengan teman wanitanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menasihatkan pelajar berkenaan supaya menjalani ujian sinar-X di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat Johor Bahru, Johor.
Beliau berkata, perkara itu demi mengenal pasti sama ada mangsa mengalami kecederaan dalaman.
Katanya, masih terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa yang juga masih dalam keadaan agak lemah.
“Pagi tadi saya melawat mangsa buli dipukul sekumpulan pelajar di kawasan taman permainan di Taman Bestari Indah yang tular dalam media sosial. Saya simpati atas ujian yang menimpa dan saya difahamkan keluarganya sudah membuat laporan polis.
“Saya turut menyerahkan sumbangan kepada ibu bapa mangsa sebagai tanda prihatin,” katanya.
Baginya, tiada kompromi terhadap perbuatan buli dan gangsterisme, sekali gus tindakan tegas wajar diambil ke atas mereka yang terbabit.
Katanya, dalam masa terdekat, pihaknya bersama pihak sekolah akan menjalin kerjasama dengan polis bagi menganjurkan program kempen kesedaran dan sesi kaunseling, sebagai salah satu usaha membendung gejala buli.