HomeBeritaPemandu Grab leka tengok mesej punca terlanggar basikal

Pemandu Grab leka tengok mesej punca terlanggar basikal

SEPANG: Video tular sebuah kereta merempuh dua penunggang basikal disahkan berlaku di Jalan Dengkil, Kota Warisan, di sini, pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku disebabkan pemandu kereta e-hailing terleka ketika memeriksa mesej dari aplikasi Grab di telefon pintar.

Beliau berkata, ketika kejadian, pemandu kereta berada di laluan kiri dari arah Kajang dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemandu kereta dikesan terlanggar belakang sebuah basikal, menyebabkan seorang lagi penunggang basikal melanggar seorang lagi penunggang basikal lain.

“Ketika memeriksa mesej, pemandu kereta telah terlanggar belakang sebuah basikal dan kemudian basikal itu terlajak ke hadapan dan terlanggar seorang lagi penunggang basikal yang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, kereta terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumper dan bonet hadapan, manakala basikal penunggang rosak di bahagian tayar serta rim belakang.

Wan Kamarul Azran berkata, beliau mengesahkan bahawa pemandu kereta serta seorang penunggang basikal telah membuat laporan polis dan mereka sudah diambil rakaman percakapan. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor