HomeBeritaViralPemilik servis penghantaran kesal dianiaya oleh cef selebriti Nasi Arab

Pemilik servis penghantaran kesal dianiaya oleh cef selebriti Nasi Arab

CYBERJAYA: Gara-gara memilih untuk membuat penghantaran produk lain, seorang usahawan yang menyediakan khidmat penghantaran kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang cef selebriti baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook King of RoadTrip, pemiliknya, Mohd Akiff tidak pernah membuat sebarang kenyataan bahawa Nasi Arab itu adalah produknya.

Menurutnya, dia hanya menjalankan servis penghantaran tempahan semenanjung dan berhak mengambil tempahan dari peniaga lain.

“Saya tak buat produk, bukan pemilik produk, saya adalah orang yang menjalankan servis. Dalam masa yang sama juga, selepas daripada Hari Raya Puasa tahun ini, saya pernah open order sebanyak empat kali dan tidak mendapat sambutan.

“Sebagai pihak yang mencari rezeki dengan menyediakan servis dan meletakkan amanah nombor 1 dalam kamus kami, apabila servis yang saya lakukan selama 5 tahun tidak mendapat sambutan gara-gara apa yang berlaku semasa bulan puasa, saya kena cari jalan dan peluang lain yang saya fikir sesuai dengan niche perniagaan yang saya buat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Akiff menjelaskan, cef tersebut tidak berpuas hati dan menuduh dia tidak mengenang budi selepas King of RoadTrip mula membuat penghantaran produk usahawan lain iaitu Nasi Pakistan No 1 Batu Pahat.

“Lima tahun saya bawak produk dan nama beliau ke seluruh Semenanjung Malaysia, last-last apabila saya ingin melebarkan sayap dengan membawa produk pihak lain, dia tuduh saya ‘kawan makan kawan’.

“Saya dan krew saya risikokannya kami untuk memastikan tempahan sampai dengan selamat, tapi akhirnya semua orang akan cakap, oh krew Chef A terbaik,” luahnya.

Mohd Akiff pada mulanya enggan membalas kenyataan cef berkenaan. Namun, cef itu berterusan menyebut namanya semasa membuat siaran langsung di media sosial, membuatkan dia terpanggil untuk menjelaskan cerita sebenar.

“Saya bersuara bukan apa, nanti orang ingat bila saya tak bersuara, maka tuduhan dia semua tu betul.

“Perasaan sekarang ni lebih kepada kecewa, tidaklah marah. Cuma kecewa dengan sikap beliau. Tahap profesionalisme yang ditunjukkan tidak sesuai dengan status sebagai seorang chef berpengalaman lebih 30 tahun,” katanya kesal.

Author

Pilihan Editor