HomeBeritaPengimport ikan Jepun perlu patuh peraturan, prosedur - Jabatan Perikanan

Pengimport ikan Jepun perlu patuh peraturan, prosedur – Jabatan Perikanan

 

JABATAN Perikanan mengingatkan semua pengimport produk hasilan perikanan Jepun supaya mematuhi peraturan import dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam negara bagi memastikan makanan yang diimport adalah selamat.

Menurut jabatan tersebut, setiap konsainan perlu mempunyai sijil kesihatan oleh pihak berkuasa Negara Jepun.

Sebagai langkah kawalan, Jabatan Perikanan menerusi kenyataannya berkata, akan memastikan import ikan marin (hidup) adalah bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dan setiap konsainan perlu mempunyai sijil kesihatan ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa.

“Semua pengimport konsainan ikan hidup perlu memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Pemeriksaan Kuarantin Malaysia (Maqis) dan mematuhi syarat permit import yang dinyatakan oleh Jabatan Perikanan di dalam permit Maqis.

“Untuk rekod, Malaysia mengimport hasilan perikanan bagi tujuan makanan daripada negara Jepun secara sejuk beku iaitu produk ikan sardin dan ikan mackerel.

“Bagi ikan hidup dari Jepun pula, Malaysia hanya mengimport ikan hiasan (air tawar) seperti Koi Carp (Cyprinus carpio).

“Pengimportan ikan hidup ini hanya membabitkan ikan hiasan air tawar sahaja dan bukan ikan marin,” katanya dalam kenyataan, Isnin lepas.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Maqis akan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan hasil perikanan di pasaran adalah bebas bahan pencemar.

“Jabatan Perikanan mengambil perhatian serius terhadap laporan berkaitan pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima di Jepun serta langkah Kementerian Kesihatan untuk mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari negara Jepun bagi analisis kandungan bahan radioaktif,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor