HomeBeritaPolitikPengundi Sungai Tua mahu bakal pemimpin jaga kebajikan rakyat

Pengundi Sungai Tua mahu bakal pemimpin jaga kebajikan rakyat

BATU CAVES: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dilihat berpusu-pusu ke pusat mengundi, sejam sebelum tempoh mengundi tamat.

Berdasarkan tinjauan MEDIA VARIASI setakat pukul 4.30 petang Sabtu, suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tua Baharu, di sini pada mulanya kelihatan lengang dan hanya kelihatan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang setia menunggu kehadiran para pengundi.

Namun, menginjak pukul 5 petang, orang ramai mula keluar masuk dari pusat mengundi tersebut tatkala cuaca mendung.

MEDIA VARIASI sempat menemuramah beberapa pengundi DUN Sungai Tua berhubung kriteria yang dimahukan terhadap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Muhammad

Menurut seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 56, dia mengambil kira manifesto yang ditawarkan parti bertanding hendaklah menawarkan manifesto yang logik untuk dicapai.

“Saya datang mengundi hari ini kerana menunaikan hak saya sebagai warganegara Malaysia ia juga demi masa depan Malaysia,” katanya.

Zaleha

Sementara itu, Zaleha Ahmad Kahar, 54, berkata, dia memilih calon yang boleh mengambil berat tentang masalah rakyat.

“Malah, calon yang dipilih juga perlukan menjalankan tanggungjawab sepatutnya,” katanya yang turun mengundi dari Setapak, Kuala Lumpur.

Siti Majudah

Berpendapat sama, seorang lagi pengundi yang hanya dikenali sebagai Siti Majudah, 33, berkata, dia pula menginginkan calon yang mementingkan kebajikan rakyat yang ketika ini masih belum berada dalam tahap memuaskan.

“Saya datang mengundi pada hari ini disebabkan saya mahu perubahan kepada Selangor dan mahu memilih pemimpin yang betul supaya kebajikan rakyat terjaga,” katanya yang datang dari Pontian, Johor.

Rozita

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita, 60, berkata, dia mahukan pemimpin yang boleh menangani masalah dan memberi manfaat kepada rakyat.

Apatah lagi, dia mengakui agak tertekan dengan kenaikan harga barang yang dilihat seolah-olah tidak berkesudahan ketika ini.

“Calon yang dipilih perlulah yang ada kredibliti untuk tangani masalah rakyat. Kalau setakat angkat (sebagai pemimpin) tapi tak datangkan manfaat susah jugalah,” tambahnya.

Razif Mohd, 35, berkata, dia mengidamkan calon yang tulus menjaga kebajikan rakyat negeri Selangor.

Ketika ini, katanya, dia berdepan dengan masalah air dan kesesakan jalan raya di Damansara selain mahu supaya Stadium Melawati, Shah Alam dibaik pulih.

“Saya datang mengundi tahun ini kerana saya mahu pemimpin sedia ada untuk ubah apa yang rakyat mahukan,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Tua ketika ini disandang oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada PRN Selangor, Sungai Tua akan menjadi rebutan Amirudin yang bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH), Hanif Jamaluddin mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas, Suman Gopal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua, selepas menewaskan tiga calon lain dari Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor