HomeBeritaPenumpang pesawat terhempas selesai hadiri mesyuarat

Penumpang pesawat terhempas selesai hadiri mesyuarat

KESEMUA penumpang termasuk seorang EXCO Pahang dipercayai menaiki pesawat ringan Langkawi bagi menghadiri sebuah mesyuarat.

Menurut sumber, mesyuarat yang dihadiri mereka membabitkan Majlis Tindakan Pembangunan sebuah negeri.

“Mesyuarat itu berlangsung hari ini (Khamis), bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesemua mereka berada di Langkawi sejak bila,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, media tempatan memperoleh senarai nama penumpang dan krew membabitkan pesawat ringan berkenaan, namun, tiada pengesahan berhubung penularan maklumat itu.

Terdahulu, 10 individu dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Mangsa terlibat terdiri lapan individu menaiki pesawat ringan berkenaan selain dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal dan kereta.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohamad Shoki Hamzah berkata, masing-masing seorang penunggang motosikal dan pemandu kenderaan maut selepas dirempuh pesawat ringan berkenaan.

Operasi masih berjalan dan identiti kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan.

Pesawat ringan berkenaan dipercayai telah berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.

Author

Pilihan Editor