HomeBeritaViralPerodua siasat pusat servis kereta papar papan tanda 'kod pakaian' tak ikut...

Perodua siasat pusat servis kereta papar papan tanda ‘kod pakaian’ tak ikut garis panduan

CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular sebuah gambar menunjukkan papan tanda etika pemakaian pelanggan di sebuah pusat servis kereta di Kuantan. 

Malah, gambar tersebut telah mendapat pelbagai reaksi sama ada positif mahupun negatif dalam kalangan pengguna media sosial.

Ketua Pegawai Operasi Perodua, JG Rozman Jaafar berkata, kod pemakaian yang dikeluarkan itu tidak selaras dengan garis panduan Perodua.

“Pihak Perodua menyedari timbulnya isu berkaitan notis ‘kod etika pemakaian’ yang dipaparkan di Pusat Servis Perodua di Kuantan, Pahang.

“Kami ingin memaklumkan bahawa Perodua telah mengambil langkah segera dengan menarik semula notis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, langkah pembetulan juga dibuat bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi di masa hadapan.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang kami hargai di Pusat Servis Perodua berkenaan,” tambahnya.

Terdahulu, netizen tidak bersetuju dengan kod etika pemakaian yang dikeluarkan oleh pusat servis kereta terbabit serta menyamakannya seperti berurusan di pejabat kerajaan.

Author

Pilihan Editor