HomeBeritaPeserta Felo Perdana pelapis pemimpin masa depan – PM

Peserta Felo Perdana pelapis pemimpin masa depan – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Program felo Perdana mampu memberi pendedahan kepada anak muda dalam aspek kepimpinan dan budaya kerja dalam sektor kerajaan.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi platform terbaik untuk memberi ruang kepada para peserta memahami dan menimba pengetahuan berhubung pelaksanaan dasar-dasar yang dibangunkan kerajaan.

Beliau menjelaskan, program ini dipilih khas dalam kalangan anak-anak yang mempunyai prestasi baik dan cemerlang untuk memperoleh manfaat sebaiknya sebagai persiapan bagi pimpinan masa hadapan.

“Peserta program ini dapat mengenali bukan sahaja sosok pimpinan, tetapi lebih penting hala kerja tradisi dan budaya di kerajaan.

“Pendedahan ini memberi ruang lebih kepada mereka untuk memahami dasar-dasar (kerajaan) dan saya percaya dapat menimba pengalaman dan pengetahuan. Itu sangat penting,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Bagi edisi kesepuluh tahun ini, seramai 56 orang Felo dipilih dan akan memulakan tugas mulai 23 Ogos sehingga 31 Disember depan.
Semua Felo dipilih telah melalui sesi orientasi bermula pada 20 hingga 22 Ogos lalu di Institut Semarak Felda, Bangi.

Bagi Perdana Menteri sendiri merangkap Menteri Kewangan, beliau menerima felo dari Sekolah Politik dan Sosial Eropah, Perancis jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Ekonomi dan Perhubungan Antarabangsa, Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan dan felo dari Shiga University, Jepun jurusan Ijazah Sarjana Ekonomi, Muhamad Firdaus Ali.

Felo Perdana merupakan program berbentuk mentor dan latihan industri dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.

Ini termasuk untuk bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.

Melalui program ini, Felo akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap Ahli Jemaah Menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Felo yang dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan mengikuti sesi orientasi ditetapkan bagi tujuan pendedahan terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2013, seramai 763 orang Felo terpilih untuk menyertai program yang mendasari objektif seperti meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina keyakinan diri dalam kalangan graduan dan siswa.

Ia memberikan pendedahan mengenai pengurusan dan sistem pentadbiran kerajaan dan menyediakan platform kepada belia Malaysia untuk melibatkan diri secara langsung dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan.

Felo juga akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi graduan lepasan universiti dan RM1,000 seorang bagi siswa atau siswi yang masih menuntut di universiti. – Utusan

Authors

Pilihan Editor