HomeBeritaPolitikPN menang besar, Kedah diumum cuti Ahad

PN menang besar, Kedah diumum cuti Ahad

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan negeri Kedah sebagai cuti umum pada Ahad, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selepas PN mendominasi kemenangan di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

Kemenangan itu turut menyaksikan Muhammad Sanusi kekal sebagai Menteri Besar Kedah, selain berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri.

Muhammad Sanusi menang dengan majoriti selesa sebanyak 16,050 undi, mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat sebanyak 5,773 undi.

Selain itu, bekas bintang bola sepak, Baddrol Bakthtiar yang bertanding kali pertama menang di DUN Gurun, selepas menumpaskan calon dari Pakatan Harapan (PH), Firdaus Johari, dengan jumlah undi sebanyak 17,771.

Malah, seorang lagi bekas bintang bola sepak tempatan, Radhi Mat Din turut berjaya menakluk DUN Alor Mengkudu, selepas menewaskan calon PH, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini menang di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Radhi menang dengan keseluruhan undi sebanyak 18,936, manakala Mahfuz hanya meraih 8,832 undi.

Kerusi panas DUN Pedu turut menyaksikan Radzi Md Amin membenam bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang bertanding di bawah tiket BN.

Radzi memperoleh 14,397 undi, sementara  Mahzir dengan 8,024 undi.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan cuti umum pada Isnin sekiranya gabungan PH-BN menang pada PRN pada Sabtu.

Author

Pilihan Editor