TIMBALAN Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September depan.
Lapor Sinar Harian, pakar bedah endovaskular, Dr Mohd Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Pengumuman itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN Pulai, Kempas Baru, Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali serta Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin.
Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dikosongkan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.