HomeBeritaPolis akan panggil Ahli Parlimen dakwa ada 'perangkap' untuk Sanusi

Polis akan panggil Ahli Parlimen dakwa ada ‘perangkap’ untuk Sanusi

 

ALOR SETAR: Polis Kedah akan memanggil seorang Ahli Parlimen untuk membantu siasatan berhubung kenyataan dikeluarkannya dalam ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Sungai Petani, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh berkata, setakat ini polis menerima empat laporan berhubung kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen terbabit.

Beliau berkata, kenyataan itu dilihat sebagai suatu fitnah dengan niat mendatangkan khianat awam yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara mengait keselamatan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Setakat ini, empat individu yang membuat laporan polis sudah dipanggil untuk diambil keterangan.

“Susulan laporan yang dibuat, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya selepas meninjau keadaan undi awal yang membabitkan 875 pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini, lapor Harian Metro.

Pada Ahad lalu, seorang Ahli Parlimen yang juga penceramah terakhir pada perhimpunan politik di Sungai Petani memaklumkan orang ramai bahawa seorang tokoh politik di negeri itu dinasihatkan supaya tidak menghadiri majlis itu atas sebab keselamatan.

Ahli Parlimen itu mendakwa, tokoh politik itu dinasihatkan supaya tidak menghadiri perhimpunan itu kerana ada ‘perangkap’ untuk menahannya.

Mengulas lanjut, Fisol turut menasihatkan semua parti politik yang menyertai pilihan raya negeri supaya mengelak daripada membangkitkan naratif yang boleh menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan awam.

“Jangan menggunakan kaedah yang boleh membawa kepada gangguan atau spekulasi,” katanya.

Author

Pilihan Editor