HomeBeritaPolis nafi sambutan Sanusi di Johor

Polis nafi sambutan Sanusi di Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan terdapat sebarang sambutan untuk Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, video mengandungi dakwaan itu yang tular melalui laman sosial TikTok, sebenarnya adalah berkaitan program KL Munajat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.

Katanya, video itu telah disunting dengan memasukkan sorakan ‘Luaskan kuasamu Johor’ untuk perkongsian oleh pengguna media sosial lain.

Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan individu bertanggungjawab bagi membantu siasatan.

“Hal ini dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat.

“Perbuatan menyebarkan serta membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber tidak sah dan berkongsi maklumat itu sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Author

Pilihan Editor