HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis siasat kes bacaan doa depan sami

Polis siasat kes bacaan doa depan sami

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kes bacaan doa oleh orang Islam yang turut disertai acara berdoa orang bukan Islam dalam satu majlis, disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Setakat ini kita (Polis Kuala Lumpur) sudah menerima laporan yang dibuat pada 22 Ogos lalu.

“Meskipun laporan dibuat di Kuala Lumpur, siasatan berhubung kejadian ini kini diambil alih oleh USJT, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata, orang ramai disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan kerana dikhuatiri boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

“Saya mengambil peluang ini untuk menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian terhadap mana-mana isu tanpa sebarang usul periksa.

“Sila semak dahulu dan dapatkan kepastian sebelum membuat tindakan menularkan sesuatu perkara. Jaga jari-jemari untuk tidak terlalu laju menularkan sesuatu,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengesahkan akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit, bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.

Berdasarkan kenyataan JAWI, sebarang kesalahan membabitkan aqidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Sebelum ini, tular satu rakaman siaran langsung majlis program pecah tanah yang berlangsung hampir satu jam di Facebook oleh sebuah akhbar tempatan tular di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Allaudeen mengesahkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengambil tindakan berhubung isu tarian gelek ‘aksi separuh bogel’ di Bukit Bintang, di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Pihak DBKL sudah mengambil tindakan lanjut termasuk menutup premis berkenaan.

Satu rakaman video memaparkan beberapa wanita menari tarian gelek dengan pakaian menjolok mata di Bukit Bintang tular sejak Khamis.

Author

Pilihan Editor