HomeBeritaPolis Terengganu terima 4 laporan tak dapat undi, nama diguna

Polis Terengganu terima 4 laporan tak dapat undi, nama diguna

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menerima empat laporan berhubung tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila nama diguna individu lain.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menerima laporan itu membabitkan tiga di Kuala Terengganu dan satu di Marang.

Beliau berkata, disebabkan maklumat mereka sudah digunakan, maka empat individu itu tidak dapat menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi.

“Kita menerima laporan empat kes membabitkan empat individu yang tidak dapat mengundi apabila sudah ada pengundi lain menggunakan kad pengenalan mereka.

“Justeru, kita akan siasat ini bawah Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

Ditanya perkembangan hari pengundian, Mazli berkata pihaknya mendapati keadaan terkawal sepanjang proses berjalan.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang provokosi melampau berlaku dan situasi tenang.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan kekecohan atau sengaja yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita juga mahu ingatkan sebaik pusat pengundian ditutup nanti menjelang pengiraan undi dan selepas keputusan diperolehi, penyokong-penyokong parti jangan sesekali berbuat demikian.

“Selain itu, kita juga menasihatkan supaya mereka juga tidak mengganggu lalu lintas dengan mengadakan perarakan di tengah jalan meraikan kemenangan,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor