KOTA BHARU: Wakil calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa susulan fitnah yang dilemparkan di satu laman Facebook yang mendakwa calon tidak pergi solat Jumaat, kelmarin.
Suami kepada calon itu merangkap Ketua Strategik Jentera BN DUN Chempaka, Zailany Zakaria, 50, berkata, laporan itu dibuat kelmarin bagi mempertahankan isterinya, Nik Normi Nik Ayub daripada menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, calon BN bagi DUN Chempaka adalah wanita dan tidak wajib menunaikan solat Jumaat.
“Saya menyedari status itu ketika berada di rumah di Batu 6, Pengkalan Chepa dan amat terkilan dengan laman Facebook berkenaan yang memuat naik status mendakwa calon BN (Chempaka) tidak solat Jumaat.
“Hal ini memburukkan keadaan apabila ia memberi persepsi negatif kepada masyarakat terhadap calon. Saya tegaskan bahawa calon BN DUN Chempaka adalah seorang wanita dan tidak diwajibkan solat Jumaat.
“Saya yakin laman itu dengan sengaja memuat naik kata-kata seperti itu seolah-olah untuk menjatuhkan moral calon BN serta memberi kesan buruk terhadap keputusan PRN nanti,” katanya di sini, semalam, lapor Harian Metro.
Menurutnya, komen-komen yang diberikan di laman itu seolah-olah BN jauh dari agama dan berharap perkara itu tidak berulang.
Beliau memaklumkan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik laman Facebook itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan polis Kelantan membuka empat kertas siasatan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini iaitu dua kes berhubung laporan perbuatan khianat dan masing-masing satu laporan fitnah serta mengaibkan calon bertanding.