HomeBeritaPRN: Lebih 50 peratus anggota ATM, selesai mengundi di DUN Sungai Tua

PRN: Lebih 50 peratus anggota ATM, selesai mengundi di DUN Sungai Tua

 

GOMBAK: Lebih 50 peratus daripada 93 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pasangan selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, hari ini.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati setakat pukul 9 pagi, kadar peratusan itu melibatkan seramai 48 anggota termasuk pasangan pada hari pengundian awal di Dewan Dato Yaacob, Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja, Batu Caves di sini.

DUN Sungai Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Amiruddin Shaari, calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas.

Untuk makluman, sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula pukul 8 pagi tadi.

Ia melibatkan undi awal 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di semua negeri yang terlibat PRN.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.

PRN kali ini melibatkan sebanyak 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Author

Pilihan Editor