DENGKIL: Pengundi kawasan N55 Dengkil berharap calon yang berjaya memegang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat menunaikan janji yang telah dibuat sewaktu kempen calon dua minggu lepas.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil (SJKC Dengkil) dan Sekolah Rendah Agama Dengkil (SRA Dengkil) antara tempat yang dijadikan pusat mengundi bagi DUN berkenaan.
Menurut pengundi di SRA Dengkil, Ayshah, dia yakin calon yang dipangkahnya di atas kertas undi boleh mempunyai peluang yang tinggi untuk menang.
“Apa yang saya harapkan oleh wakil rakyat sebelum ini tak dapat. jadi saya harap calon yang saya pangkah boleh berikan apa yang kami nak.
“dengan apa yang saya pangkah, saya boleh tengok and saya boleh baca latar belakang, dia seorang yang baik jadi saya boleh rasa dia menanglah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Sementara itu, Ain yang merupakan pengundi di SJKC Dengkil berharap calon yang dipangkahnya itu dapat menurunkan harga minyak.
“Sebenarnya saya nak cakap ini pasal undi ni bagilah harga minyak turun, gaji naik ke,” ujarnya.
Tinjauan MEDIA VARIASI di kedua-dua buah sekolah ini walaupun sudah menjelang jam 3 petang, pengundi masih berpusu-pusu masuk ke tempat mengundi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Prof Darren Ong; Barisan Nasional (BN), Noorazli Said, Parti Utama Rakyat (PUR), Mohd Daud Leong; dan Perikatan Nasional, Datuk Seri Jamil Salleh.