TANDA tanya mengenai pentadbir baharu bagi enam negeri bakal terjawab apabila hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dilaksanakan pada 12 Ogos ini.
Kedah adalah antara negeri yang memiliki kerusi panas bagi merebut 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.
Negeri yang sinonim dengan gelaran ‘jelapang padi’ itu menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional(BN) menentang Perikatan Nasional (PN) di 28 kerusi.
Namun, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani tidak menolak kemungkinan PN akan tergugat di Kedah, berikutan terpalit dengan dua isu yang dilihat agak serius.
Apatah lagi, penganalisis politik itu berkata, isu tersebut akan mengancam kedudukan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah.
Salah satu daripadanya adalah kes mahkamah membabitkan Ahmad Sanusi yang berdepan dua tuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 pada 18 Julai lalu.
Terdahulu, Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghasut isu pelantikan Menteri Besar Selangir dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
“Selain itu, terdapat isu kecurian nadir bumi (REE) di Sik, Kedah membabitkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan warga China ditangkap masih dalam siasatan beberapa agensi kerajaan,” katanya menulis di ruangan rencana Berita Harian.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa, Muhammad Sanusi didenda RM500,000 tahun lalu kerana kesalahan mencuri REE.
Saifuddin dilapor berkata, denda tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke atas Muhammad Sanusi selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana kegiatan yang dilakukan di Sik.
Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, kedua-dua isu tersebut selalunya memberi kesan langsung kepada demografi pengundi muda, golongan kelas menengah dan peniaga, selain penduduk bandar dan pinggir bandar.
Melihat kepada keseluruhan aspek hingga hari penamaan calon, katanya, penduduk Kedah nampak berminat untuk menilai tawaran ingin dibawa parti dan calon bertanding.
“Siapa atau parti mana menawarkan tawaran menarik, akan disokong pengundi nanti.
“Saingan sengit semestinya untuk memenangkan setiap kerusi. Sudah pasti faktor pertembungan dua penjuru, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tawaran manifesto, isu semasa dan kebajikan rakyat Kedah menjadi penentu kepada keputusan PRN DUN Kedah ini,” jelasnya.
Khamis lalu, PH dan BN Kedah melancarkan manifesto gabungan itu yang mengandungi empat teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Kedah, sekiranya berjaya merampas negeri ini pada PRN 12 Ogos ini.
Empat teras itu adalah reformasi politik dan urus tadbir yang telus; pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif; pembangunan sosial yang harmoni; serta pengurusan sumber hasil yang mampan.
Sementara itu, PN Kedah masih belum melancarkan manifesto di negeri tersebut setakat Rabu.