HomeBeritaPukul 7 atau 8 akan dapat keputusan – Azmin

Pukul 7 atau 8 akan dapat keputusan – Azmin

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencuri tumpuan apabila tiba di pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang seawal 8.52 pagi tadi.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu tiba di Sekolah Kebangsaan Klang Gate berpakaian kemeja biru muda bersama isterinya, Datin Seri Shamsida Taharin dan diiringi penyokong beliau.

Beliau menjangkakan jumlah pengundi jauh lebih positif berbanding pilihan raya negeri terdahulu.

“Saya rasa peratusan keluar mengundi lebih tinggi hari ini jadi mungkin akan ambil masa sedikit (untuk pengiraan).

“Jadi, saya rasa mungkin dalam pukul 7 atau 8 malam nanti, kita akan mula dapat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mohamed Azmin berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli.

Beliau memulakan karier politiknya dengan memenangi kerusi Hulu Kelang pada 1999 sebelum bertanding di Bukit Antarabangsa mulai 2008 dan menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal sehingga tahun ini. – UTUSAN

Authors

Pilihan Editor