HomeBeritaPolitikRamai orang Melayu tak mahu keluar undi, kurang kesedaran - Abdul Hadi

Ramai orang Melayu tak mahu keluar undi, kurang kesedaran – Abdul Hadi

CYBERJAYA: Ramai kaum Melayu yang masih tidak mahu keluar mengundi pada pilihan raya kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan orang Melayu masih kurang kesedaran bahawa setiap undian itu adalah suatu kuasa politik.

“(Peratusan) kaum lain keluar mengundi 90 peratus (tapi) orang Melayu (yang) keluar mengundi 70 peratus. Masih ramai yang tak mahu mengundi.

“Kalau kita tak mengundi, bermakna kita menghilangkan kuasa politik. Mana-mana parti yang menang pilihan raya, dia dapat kuasa politik.

“Maka orang Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem perlu menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membuat perubahan yang baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, Ahad malam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyatakan kemenangan PN dalam PRN yang akan berlangsung pada Sabtu ini akan membawa perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor