HomeBeritaRemaja parah perut tertusuk buluh

Remaja parah perut tertusuk buluh

 

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki parah apabila perutnya tembus akibat tertusuk sebatang buluh selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah trak pikap yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Jeli di Jambatan Pulau Setelu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, cedera apabila buluh berukuran dua meter tertusuk sehingga menembusi bahagian perutnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu untuk memancing di sebuah sungai.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa merempuh belakang sebuah trak pikap jenis Nissan Frontier yang membawa muatan buluh yang diparkir di tepi jalan di atas Jambatan Pulau Setelu.

“Keadaan itu menyebabkan sebatang buluh berukuran dua meter tertusuk menembusi perut mangsa.

“Remaja itu dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo memberitahu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di laluan jalan raya dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – Utusan

Author

Pilihan Editor