CYBERJAYA: Rezeki seorang pemuda apabila terserempak dengan ulama Islam, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Dr Zulkifli, pemuda itu dalam perjalanan menuju ke Sabah bagi menghadiri majlis pernikahan dengan gadis pilihannya.
“Di KLIA 2 sebentar tadi, dalam perjalanan ke Keningau, Sabah. Anak muda ini menyapa saya.
“Katanya, beliau akan ke Sabah untuk berkahwin dengan gadis pilihannya di sana.
“Saya doakan semoga urusan perkahwinannya dipermudahkan Allah SWT dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” tulis bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
Pada masa sama, Dr Zulkifli turut meninggalkan pesanan berhubung perkahwinan yang diredai Allah.
“Perkahwinan yang dijalankan dengan tujuan yang tulus benar kerana Allah serta ingin memelihara kehormatan diri, nescaya pasti akan diberikan bantuan dan pertolongan Allah SWT dari sudut kecukupan dalam hidup,” kongsinya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net mengucapkan tahniah dan mendoakan majlis pernikahan pemuda itu berjalan lancar.
Malah, warga maya turut menyifatkan pemuda itu beruntung dapat bertemu ilmuwan Islam yang disegani.
“Alhamdulillah rezeki bakal pengantin dapat doa keberkatan dari Datuk. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga.”
“Alhamdullillah…bertuah mendapat doa dari alim ulamak…moga doanya dimakbulkan…Aamiin Ya Rabb.”
“Semoga diberkati perkahwinan pemuda, semoga diganjari amalan murabbi. Amin.”