HomeBeritaPolitik'Rosak teruk, UMNO sukar pulih waktu terdekat', penganalisis ulas desakan undur Zahid

‘Rosak teruk, UMNO sukar pulih waktu terdekat’, penganalisis ulas desakan undur Zahid

CYBERJAYA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu menyaksikan UMNO mengalami kekalahan besar, apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

PRN turut menyaksikan UMNO kehilangan semua kerusi yang ditandingi di Terengganu dan Kedah, hanya menang dua di Pulau Pinang dan Selangor, satu di Kelantan manakala 14 kerusi lagi di Negeri Sembilan.

Susulan daripada kekalahan itu, banyak pihak melakukan desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Meskipun sedar wujud gesaan itu, namun Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak membuat sebarang kenyataan mahu berundur diri.

Beliau sebaliknya dilapor akan memperbaiki nasib UMNO dengan dibantu oleh kepimpinan parti.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, masalah UMNO tidak mungkin akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat sekiranya Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Beliau berkata, UMNO boleh melakukan reformasi dan transformasi ketika ini, namun parti itu tidak mungkin akan dapat menambat hati rakyat dalam masa lima tahun.

“UMNO tak mungkin pulih kerana Ahmad Zahid tak akan melepaskan jawatan. Parti itu begitu rosak teruk sehingga sukar untuk dipulihkan dalam tempoh singkat.

“Jadi, masa terbaik untuk Ahmad Zahid letak jawatan adalah sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) seterusnya dan bukan sekarang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Mengulas lanjut, Jeniri Amir berkata, peletakan jawatan Ahmad Zahid dalam waktu terdekat juga akan mencetuskan ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan, yang diterajui BN dan Pakatan Harapan (PH).

Tambahan pula, katanya, ia juga mungkin akan memberi pengaruh besar dari segi jawatan dan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tidak sekadar itu, langkah tersebut akan memberi kesan kepada UMNO. Oleh itu, bukan sahaja Presiden, malah ‘Top 5’, ahli majlis kerja tertinggi UMNO perlu bertanggungjawab.

“Memang senang nak desak letak jawatan, tapi hakikatnya nak letak jawatan bukan semudah itu kerana kita perlu lihat dari segi realiti yang berlaku sekarang,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor