HomeBeritaPolitikSaifuddin dakwa Sanusi panik, dalam sindrom penafian

Saifuddin dakwa Sanusi panik, dalam sindrom penafian

 

GEORGE TOWN: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor didakwa berada dalam sindrom penafian berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik, Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, Muhammad Sanusi juga didapati sudah panik susulan banyak pendedahan berkenaan isu itu dibuat olehnya.

Menurutnya, penafian yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu jelas menunjukkan beliau kini terhimpit apabila bukti demi bukti telah didedahkan.

“Inilah satu penyakit ‘denial syndrome’ yang datang daripada seorang yang semakin terhimpit apabila saya mendedahkan saban hari, bukti demi bukti mengenai kecurian nadir bumi di Bukit Enggang, Sik oleh (saya sebut) dua tiga watak nama-nama yang kebetulan melibatkan warga asing.

“Mereka pula masuk (ke Malaysia) apabila Sanusi menulis kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mereka mendapat pas lawatan ikhtisas yang mana, Perbadanan Menteri Besar (MBI) adalah majikan mereka. Mereka ditahan 30 dan 31 Januari lalu.

“Oleh itu jelas, apa lagi yang tak jelasnya? Apa yang Sanusi jawab? Pertembungan Amerika dan China nak merebut, eh ‘come on’ lah, fokuslah. Isu pokoknya adalah kecurian REE di Sik, itu isunya. Pergi sampai Amerika China, ini menunjukkan panik,” katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di sini pada malam Khamis.

Tambah beliau, isu kecurian itu hanya akan dibawa ke mahkamah setelah semua siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan selesai dijalankan, lapor Sinar Harian.

“Nak bawa ke mahkamah, tunggulah. Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum habis siasat. Yang sudah siasat, Jabatan Perhutanan iaitu ada sabitan menceroboh hutan simpan. Yang belum siasat satu saja, pengarah tanah dan galian yang kebetulan kawan baik Sanusi.

“Di bawah Enakmen Mineral Kedah bab nombor 11 di bawah Peraturan 168,169 dan 170, terang-terang menunjukkan itu bidang kuasa kawal selia Pejabat Tanah dan kerajaan negeri untuk menyiasat insiden kecurian.

“Bahan bukti ada, 365 kampit REE yang telah dicuri. Kenapa tidak siasat, Sanusi kena jawab,” tambahnya.

Pada Khamis, Sanusi meminta Saifuddin mengemukakan bukti dalam isu REE ke mahkamah dan bukannya pentas ceramah politik.

Dakwa Sanusi, tiada bukti kukuh yang ditunjukkan oleh Saifuddin dalam kes tersebut setakat ini, sebaliknya hanya membina naratif dan persepsi terhadap beliau ketika kempen pilihan raya negeri (PRN).

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan itu berkata, bukan tugas Muhammad Sanusi untuk bercakap mengenai bukti berhubung kes berkenaan.

“Bukan tugas dia untuk mengatakan ada bukti atau tidak, tugas dia sekarang adalah ‘caretaker’ Menteri Besar. Siapa dia untuk katakan tak ada bukti? Dia siapa? Bukti hanya akan disiasat oleh agensi-agensi penguat kuasa. Setakat ini, agensi penguat kuasa yang telah ambil tindakan adalah Jabatan Perhutanan dan Jabatan Imigresen.

“Dua agensi berkenaan telah buka kertas siasatan terhadap insiden kecurian ini dan terhadap penglibatan sejumlah orang asing yang terlibat dalam insiden kecurian. Ada tangkapan, ada siasatan, ada pendakwaan dan ada sabitan. Sebahagian mereka sekarang sedang meringkuk dalam penjara, ada yang masih disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Sebahagian mereka kertas siasatan, misalnya oleh Jabatan Mineral dan Galian telah sampai ke penasihat undang-undang kementerian. Jadi apa maksud Sanusi bahawa tidak ada bukti, apa maksud dia ini persepsi? Siasatan masih lagi berjalan, yang telah disiasat itu ada sabitan, perkara itu sangat jelas,” katanya.

Author

Pilihan Editor