HomeBeritaViralSanggup datang awal pagi untuk sambut Hari Merdeka

Sanggup datang awal pagi untuk sambut Hari Merdeka

PETALING JAYA: Seorang pengguna sanggup datang seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan pemandangan terbaik pada sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66 yang bakal diadakan di Putrajaya, esok.

Menurut hantarannya di laman TikTok, orang ramai disarankan untuk bertolak awal sekiranya ingin mendapatkan pemandangan yang terbaik dan mengelakkan sebarang kesesakan.

Dalam pada itu, pengguna tersebut turut berkongsi tip penting kepada orang ramai yang ingin datang memeriahkan sambutan kemerdekaan kali ini.

“Kalau boleh, pukul 6.30 pagi dah sampai. Boleh duduk depan sekali, jangan lupa bawa alas untuk duduk.

“Kalau nak parkir kereta, tempat yang paling mudah adalah di kawasan Masjid Besi. Kemudian boleh solat Subuh di sana,” jelasnya.

Tambahnya, perjalanan dari Masjid Besi ke dataran tempat sambutan kemerdekaan dijalankan memakan masa sekitar 10 minit.

“Kalau nak nampak jentera atau aset tentera dengan jelas, duduk di kawasan skrin gergasi. Tapi, mungkin akan panas sedikit selepas pukul 8 pagi.

“Kalau nak nampak jet pejuang dengan jelas, boleh duduk di kawasan sebaris dengan pentas utama sekitar Istana Kehakiman atau Mahkamah,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh membawa tikar, air kosong, makanan ringan, kipas kecil dan payung untuk lebih selesa, terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang berterima kasih dengan perkongsian pengguna tersebut.

“Dah duduk depan jangan lupa ambil gambar dan video cantik-cantik,” kata Chaa.

“Saya dah agak dah. Saya ingat saya lagi awal, rupanya ada orang lain lagi awal,” kata Aisha.

“Sanggup ya tidur sana. Kalau saya, tak sanggup,” kata seorang lagi pengguna. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor