HomeBeritaPolitikSanusi berdepan 'ancaman', Khairuddin anggap PAS cuba raih simpati rakyat

Sanusi berdepan ‘ancaman’, Khairuddin anggap PAS cuba raih simpati rakyat

CYBERJAYA: Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bersedia mempertahankan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sekiranya benar beliau berdepan dengan ancaman keselamatan.

Namun, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menganggap, isu keselamatan yang sedang dimainkan terhadap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkenaan hanyalah demi mencapai tujuan politik tertentu.

“Apa pun dalam pilihan raya, kita bersaing tanpa memerlukan provokasi melibatkan keselamatan seseorang.

“Jika benar berlaku, saya sendiri akan tampil mempertahankan seseorang daripada kezaliman.

“Tetapi, rakyat semakin celik tidak terpengaruh dengan provokasi sebegini dalam arena demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Muhammad Sanusi tidak dapat menyampaikan ceramah yang sepatutnya dijadualkan di Kedah kerana dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.

Ahli Parlimen Alor Setar merangkap bekas Setiausaha Politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilapor memaklumkan bahawa terdapat perangkap yang dipasang oleh musuh ketika majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Muhammad Sanusi ketika ini berdepan dengan tuduhan menghina Sultan Selangor manakala perbicaraan yang ditetapkan mengambil masa lama selepas PRN.

Tambahnya, isu berkenaan unsur nadir bumi (REE) yang dilombong secara haram di Kedah juga sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Naratif yang sedang dimainkan oleh PAS sekarang ialah keselamatan MB Kedah terancam dan ada perancangan jahat terhadap beliau.

“Ini adalah provokasi berniat jahat dalam saingan politik sihat untuk menarik simpati rakyat, malah mencipta kebencian terhadap lawan politik,” katanya.

Author

Pilihan Editor