KUANTAN: Rakyat khususnya golongan muda perlu menyemak berita disebarkan menerusi media sosial supaya tidak terpukau dan tertipu dengan propaganda disebarkan menerusi medium itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangan terlalu percaya dnegan cerita satu minit disebarkan di media sosial dengan terus menghukum individu tertentu tanpa usul periksa.
“Media sosial ini ada peranan. Ini teknologi baru kita manfaatkan. Sebab itu saya kata, kita kena fikir. Sebab kadang-kadang banyak penipuan. Umpamanya ada tok guru bagi ucapan, orang nampak pakai serban pakai jubah, kita pun kabur.
“Dia bercakap satu minit. Siapa yang sokong parti saya, Allah SWT restui. Siapa tak sokong, ini jadi musuh Allah. Kalau orang yang tak berfikir, dia akan kata tok guru ini yang beritahu. Sebab itu kita kena periksa betul atau tidak.
“Ada satu lagi kenyataan, Anwar selaku Perdana Menteri zalim dan menindas dan menganaktirikan negeri-negeri pembangkang termasuk Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. Itu kenyataan.
“Dah, anak muda baca ini marah, zalim Anwar ini. Kita semak. Sebab itu kita kata kena semak. Ini cerita satu minit, kita hukum orang. Orang bercakap itu menipu, orang yang mendengar ini tertipu. Sebab itu kita kena semak. Bila semak, rupanya saya dah jawab di Parlimen dalam Belanjawan Negara bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ini, peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah lebih tinggi, paling tinggi dalam sejarah daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis ‘Temu Anwar@Kuantan’ Dialog Bersama Anak Muda Bersama Perdana Menteri di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di sini hari ini.
Anwar berkata, dengan berita- berita tidak benar di media sosial ada pihak- pihak terus percaya dan marah kepada kerajaan.
“Itu sebab saya kata media sosial ini penting, tapi lagi penting melatih pengguna dan anak-anak supaya memanfaatkan kemudahan diberi. Kita boleh guna untuk meningkatkan ilmu kita, atau kita boleh guna untuk merosakkan dan rendah akal budi kita.
“Media sosial satu keperluan yang sangat penting, kerana kita dapat melihat perkembangan secara terpantas. Tapi kalau kita tidak membaca ia tidak membantu. Percayalah. Tidak ada ilmu yang boleh dikuasai dalam satu dua minit.
“Ini cabaran bagi anak muda. Media sosial penting, kritikal. Tapi gunakan, memanfaatkan untuk menilai, membaca. Tidak hanya terpukau, tertipu dengan satu dua perkataan,” katanya. – UTUSAN