HomeBeritaSemua sekolah dilengkapi prasarana asas munasabah pada Oktober - Anwar

Semua sekolah dilengkapi prasarana asas munasabah pada Oktober – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa semua sekolah di negara ini akan dilengkapi prasarana asas munasabah pada Oktober ini.

Beliau berkata, kelengkapan itu termasuk di sekolah kebangsaan selain sekolah jenis kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Katanya, semua sekolah itu dijamin mempunyai prasarana asas seperti bumbung dan tandas yang baik, yang mana ia lebih baik daripada membina mercu tanda yang hebat.

“Kerana tahun ini, sebelum akhir bulan Oktober, semua sekolah di negara ini sekolah kebangsaan, Sekolah Kebangsaan Jenis Cina, Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, kita jamin punyai prasarana asas dengan bumbung, tandas dan sebagainya.

“Ini adalah jauh lebih bermakna kepada ibu bapa berbanding mercu tanda gagah dan gedung-gedung hebat,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan sosial perlu bersama-sama memainkan peranan dalam ‘memaknai merdeka’ seterusnya berupaya melahirkan warganegara Malaysia yang mempunyai jiwa merdeka.

Beliau berkata, usaha memaknai merdeka perlu dilaksanakan oleh setiap individu memandangkan ‘Malaysia’ merupakan amanah kepada rakyat.

“Daripada pimpinan tertinggi sehingga rakyat, bahawa negara ini ialah amanah. Di kampung sehinggalah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya juga merdeka.

“(Mereka) tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperoleh habuan golongan elit. Segala kekuatan dan usaha ialah bagi mengembalikan hak kepada rakyat,” katanya.

Author

Pilihan Editor