HomeBeritaPolitikSpeaker DUN Selangor ditetapkan selepas Hari Malaysia

Speaker DUN Selangor ditetapkan selepas Hari Malaysia

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor masih belum memuktamadkan individu yang bakal dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun perbincangan sudah dibuat pada peringkat awal, namun ia melibatkan 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang harus mendapat konsensus atau persetujuan bersama terutamanya daripada para pemimpin.

Beliau berkata, penetapan Speaker DUN itu akan dibuat pada majlis angkat sumpah yang akan diadakan selepas Hari Malaysia.

“Ini sesuai dengan tarikh yang ditetapkan dengan pembukaan Dewan Selangor. Namun, prosesnya akan dilaksanakan secara tertib dan berhemah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini pada Rabu.

Sidang media itu turut mengumumkan portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada 11 Exco Selangor.

Terdahulu, DAP mencadangkan bekas ADUN Banting, Lau Weng San sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara tersebut merupakan syarat yang telah ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.

Jelasnya, perkara tersebut juga telah dipersetujui oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRN Selangor pada 12 Ogos lepas menyaksikan PH-BN kekal mmbentuk kerajaan negeri selepas menang 34 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) dengan 22 kerusi.

DAP yang bertanding 15 kerusi memperoleh kemenangan penuh, Parti Amanah Negara (Amanah) menang lima daripada sembilan kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menang 12 daripada 20 kerusi.

Sementara itu, BN hanya menang dua daripada 12 kerusi dipertandingkan.

 

 

Author

Pilihan Editor