HomeBeritaMahkamah & JenayahSuri rumah rugi RM98,000 kena 'scam' individu menyamar pegawai polis

Suri rumah rugi RM98,000 kena ‘scam’ individu menyamar pegawai polis

TELUK INTAN: Suri rumah berputih mata apabila menjadi mangsa ‘phone scam’ buat kali kedua awal bulan ini selepas kejadian sama menimpanya 2020 lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 64 tahun kerugian RM98,000 akibat ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintendan (ASP) Firdaus kira-kira 12 tengah hari pada 1 Ogos lalu.

“Mangsa didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta sebelum talian disambungkan kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mokhtar kononnya dari IPD Ipoh untuk soal siasat, bagaimanapun mangsa menafikan dakwaan itu.

“Keesokan harinya, akibat terlalu panik, mangsa memindahkan keseluruhan wang simpanan dalam Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ke dua akaun bank tempatan sebanyak RM98,000 seperti diarahkan.

“Suspek menyatakan akan mengembalikan wang itu setelah siasatan selesai.

“ASP Firdaus sekali lagi menghubungi mangsa kira-kira 4 petang pada 13 Ogos lalu untuk memintanya membuat bayaran sebanyak RM15,000 bagi tujuan proses pengembalian wang RM98,000 berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang sudah kehabisan wang simpanan gagal berbuat demikian dan membuat laporan polis pada kelmarin selepas menyedari dirinya ditipu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga mendapati kejadian ini adalah kali kedua berlaku kepada mangsa di mana kejadian pertama pada September 2020 dengan jumlah kerugian RM30,000 melalui modus operandi sama,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor